Friday, 12 July 2013

Karangan Contoh 3 - Percutian Yang Seronok Berubah Menjadi Bencana

          Malam telah larut.  Hujan turun dengan lebatnya.  Sesekali terdengar dentuman guruh.  Kilat pula sambar-menyambar.  Rasa gerun muncul di dalam hati.  Tubuhku menggigil kesejukan.  Rasa takut dan dingin bercampur dalam diriku.  Aku masih tidak dapat melelapkan mata.  Peristiwa yang pahit itu masih berlegar-legar di fikiranku.

          Pada hari itu langit kelihatan cerah.  Matahari bagaikan tersenyum menunjukkan taringnya.  Aku dan abangku sedang bermandi-manda di pantai Patong, Phuket.  Kami telah bercuti di Phuket, Thailand selama seminggu bersama ibu dan ayahku.   Pantai Patong ada ramai pelancong dari negeri Eropah.  Mereka juga sedang seronok bermandi-manda.  Ada ramai juga pelancong yang sedang berjemur di pantai.

          Suasana pantai Patong sangat nyaman.  Airnya sangat jernih.  Ombaknya pula bergulung-gulung memukul pantai.  Keadaan pantai yang indah itu amat sukar didapati di pantai-pantai di Singapura.  Oleh itu, aku dan abangku mengambil peluang itu untuk bersuka ria. Setelah seronok bermandi-mandi, kami menaiki jet ski untuk berlumba.  Sungguh seronok sekali dilambung-lambung ombak di tengah laut.   Setelah puas bermain jet ski, kami membina istana pasir pula di tepi pantai. 

          Namun suasana yang indah dan nyaman itu telah bertukar menjadi muram.  Aku sangkakan panas hingga ke petang,  rupa-rupanya hujan turun di tengah hari.  Semasa aku berseronok mengejar ombak, tiba-tiba aku telah terdengar suara orang menjerit.

          “Lari!  Lari! Tsunami!”

          “Lari? Tsunami?” aku terpinga-pinga.

          “Cepat naik ke pantai, Hizal!” teriak abangku, Syazwan.



          Ramai orang naik ke darat dan berlari lintang-pukang.  Aku masih terpinga-pinga di tepi pantai.  Aku tidak mengerti apa yang telah berlaku.  Abangku, Syazwan telah menarik tanganku dan mengajak aku berlari.  Aku mengikut sahaja perintah abangku.  Namun aku sempat menoleh ke belakang.  Aku melihat ombak yang sangat besar sedang menghampiri pantai.

          Perasaan takut muncul di dalam hati.  Aku berasa sungguh gerun.  Ramai orang yang menjerit-jerit ketakutan.  Aku juga turut menjerit ketakutan.  Aku cuba berlari dengan secepat mungkin untuk menyelamatkan diri.  Keadaan menjadi hiruk-pikuk.  Kami tidak tentu arah haluan.  Masing-masing mahu menyelamatkan diri.

          Namun, malang tidak berbau.  Aku telah disambar ombak dan tubuhku terhempas ke tembok bangunan.  Aku cuba mencapai sebatang tiang untuk berpaut.  Sungguh malang nasib yang menimpa diriku.   Aku menjerit kesakitan dan terasa duniaku menjadi gelap. 

          Apabila aku sedar dari pengsan, aku dapati diriku berada di sebuah katil hospital.    Ramai orang yang telah terkorban dalam peristiwa itu termasuk abangku.  Aku menangis meratapi pemergian abangku.  Akibat daripada peristiwa itu, aku telah menjadi lumpuh dari pinggang hingga ke buku lali.  Aku tidak boleh berjalan atau berlari.  Aku menangis mengenang nasibku.

          Sehingga ke hari ini, aku menderita penyakit lumpuh.  Aku tidak boleh bergerak seperti dahulu kala.  Aku harus menggunakan kerusi  roda jika mahu bergerak.  Aku juga telah menderita penyakit sukar tidur. Peristiwa di pantai Phuket seperti diulang tayang di benak fikiranku.  Aku selalu bermimpi peristiwa yang ngeri itu.  Aku hanya dapat berdoa agar Tuhan dapat melenyapkan penderitaan yang menimpa diriku.    Tidak aku sangka bahawa percutian yang menyeronokkan itu telah berubah menjadi bencana dan pengalaman yang ngeri dalam hidupku.